Ahad, 22 Januari 2012

hari kedua - dipupuk disogok

hari ini, macam biasa. 

dari pagi sebermula hingga malam menjelma. yang sama tetap sama. tidak berubah sifatnya walau impian sudah setinggi langit. dipujuk, dipupuk, aku disogok dengan impian manis lagi. tapi kali ini aku sudah belajar beribu perkara berdasar apa yang pernah berlaku dulu. manakan mungkin pisang berbuah dua kali...

apakah yang berlaku dulu?

gila. airmata ini tumpah dek harapan menggunung yang dijanjikan padaku. harapan menggunung yang sepatutnya aku sedar di mana letak diriku. di hadapan lelaki yang kuhormati, tumpah juga air mata ini dek kerana dirasakan pengorbanan dan komitmen ditolak tepi. lantaran emosi yang ku tahan-tahan tanpa dapat ku kongsikan, aku terjerat kerana terlalu asyik berangan-angan tanpa menyedari pencapaian tidak melayakkan. 

tapi itu kisah dulu. saat ini, emosi ku tolak tepi. perjuangan ini bukan lagi demi imbuhan ataupun peluang untuk ke depan. perjuangan ini tentang ilmu dan mencari diri sendiri. perjuangan ini tentang aku - pemusatan diri yang satu. cukup sudah aku tenggelam kerana dipijak akibat kekerdilan diri. cukup sudah aku mengalah demi memujuk dan menjaga hati. tatkala orang lain mendadik dada dengan diri, aku perlu beralih dengan pendekatan yang berbeza kali ini. ya, pemusatan diri menjengkelkan dengan cara mereka. tapi pemusatan diri sahaja cara survive... pilihan? kalaulah ada. masalahnya, tiada... redha itu ikhlas, pasrah itu menyerah? itu cuma frasa memujuk hati... dan dalam perjuangan ini, redha adalah fasa akhir... pasrah tidak mungkin lagi. berjuang sekuat hati. itu tekad diri sendiri. tapi aku berjuang bukan untuk mati.


melihat adik-adik sudah mula rapuh, aku mengasihani diri sendiri. aku pernah kalah dengan buaian emosi sebegitu. tapi aku masih senyum dan bertahan hingga kini. bodohlah aku menarik diri di saat begini.

ya, takdir tuhan itu pasti. bicara soal siapa yang menentukan takdir, hanya kuasa Yang Satu yang mengerti aturan hidup ini. tentang mereka yang memilih, aku tidak mahu lagi memikirkannya. aku pernah hilang beribu peluang, aku juga tak pernah merasa menggapai bintang. tapi aku percaya pada Yang Satu, serta hikmah setiap kejadian. 

air mata ini pasti tumpah lagi.
tapi aku janji, air mata ini air mata kepuasan dengan apa yang aku lakukan dan usahakan.









Selasa, 17 Januari 2012

pen. kertas. nota. slip peperiksaan? tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal. kebahagiaan. walaupun cuma beberapa hari....


tanggungjawab debat menanti selepas ini. huhuhu...

Isnin, 16 Januari 2012

Hans Christen Andersen - Karya Cerminan Peribadi

Pernahkah anda membaca atau mendengar kisah The Ugly Duckling, Little Mermaid atau Thumbelina? Tahukah anda bahawa kisah-kisah fantasi ini ada pengarangnya? 

Penulis kisah dongeng yang terkenal
Hans Christen Anderson ( 1805-1875) ialah pengarang dan penyair Denmark yang terkenal di seluruh dunia rententan karyanya Fairy Tales, Told For Children diterbitkan pada 1835. Sebanyak 150 kisah dongeng gabungan himpunan dongeng rakyat serta kisahnya sendiri dikumpulkan dan mendapat sambutan kanak-kanak seluruh dunia. Disebalik kisah dongeng yang mempopularkan beliau, beliau sebenarnya dibesarkan oleh ibunya seorang tukang cuci manakala ayahnya seorang pembuat kasut. Hidupnya sangat susah namun ayahnya masih cuba menggembirakan kehidupan kanak-kanaknya dengan mengalakkan dia mencipta alat permainannya sendiri dan sering dibawa ke taman permainan kanak-kanak. Selepas kematian ayahnya, beliau telah berpindah ke Copenhagen, ibukota Denmark dan mengalami kepayahan untuk meneruskan kehidupan. Namun, beliau akhirnya mendapat peluang sebagai pelakon di Royal Danish Theatre. 

Walaupun berjaya dalam kariernya sebagai penulis, namun beliau mengalami detik-detik pilu dalam kehidupannya. Semasa bersekolah di Elsinore pada 1827, beliau dalam biografinya mengakui kehidupannya yang teruk dan terpaksa menetap di rumah guru besar. Anderson merasa tersisih dan tertekan. Selain itu, beliau juga sering berpindah-randah dan tidak pernah menetap di sebuah rumah buat tempoh yang lama. Semasa menumpang di rumah penulis Charles Dicken, beliau juga tidak disenangi walaupun pada mulanya disambut baik oleh tuan rumah. Kehidupan cintanya lebih memilukan apabila beliau tidak pernah berkahwin sehingga ke akhir hayatnya. Beliau dikatakan pernah jatuh cinta semasa kanak-kanak namun surat penolakan dari gadis idamannya tersimpan di uncang seluarnya pada akhir hayatnya.Beliau juga pernah meluahkan hasrat hatinya pada penyanyi soprana bernama Jenny Lind, namun ditolak kerana gadis tersebut menganganggapnya sebagai abang semata-mata.Pada 1872, beliau meninggal dunia setelah sakit selama beberapa lama.


Siapa sangka kisah dongeng fantasi yang terkenal ditulis oleh seorang yang hidupnya penuh malang? kisah The Ugly Duckling, Little Mermaid, dan Askar Timah yang Tabah dikatakan sangat mencerminkan peribadi dan pandangannya tentang kehidupan. Sebagai contoh, menerusi kisah Askar Timah yang Tabah, Anderson menggambarkan watak pasif sebuah patung askar timah yang memakai seragam tentera Denmark namun hanya memiliki sebelah kaki. askar timah tersebut jatuh cinta pada penari kertas ( ballerina) yang disangkanya turut memiliki sebelah kaki sedangkan sebenarnya sedang menggayakan aksi menari. Askar timah telah ditiup dek angin dan menjadi permainan kanak-kanak. Setelah dihanyutkan dalam kapal kertas dan dimakan oleh ikan, askar timah masih begitu tabah meneruskan hayatnya sehingga kembali berada di bilik yang sama dengan penari kertas yang diidamkannya. namun, cinta tragus ini berakhir dengan askar timah dibuang ke dalam tempat pendiangan api dan timahnya mencair menjadi bentuk jantung sedangkan penari kertas itu terbakar sekelip mata. 


Kampung Boy - Mencari titik pertembungan antara komik dan karya Sastera


Apakah kartun? Kartun berasal dari isilah cartone dalam Bahasa Inggeris yang bermakna kertas. Menurut A.S Horby, kartun merujuk pada lukisan tentang peristiwa yang digambarkan dengan menarik dan diselitkan unsur jenaka. Komik adalah salah satu bentuk kartun lerang. Sememangnya, komik yang sinonim dengan humor lebih diminati oleh golongan kanak-kanak. Oleh sebab itu, tahap intelek komik seringkali dilihat sebagai rendah. Sedangkan, sastera disifatkan sebagai wahana mengangkat isu penting dalam masyarakat.Maka seringkali titik persamaan antara komik dan sastera seringkali sukar untuk ditemukan. Sedar atau tidak, persepsi ini wujud lantaran lambakan komik di pasaran yang rendah mutunya baik dari aspek bahasa mahupun kandungan. Walaubagaimanapun, karya Datuk Lat, iaitu Kampung Boy yang diterbitkan sekitar 1990-an membuktikan bagaimana komik sebenarnya merupakan paduan seni lukisan dan juga seni sastera. 



Kampung Boy mengisahkan watak utamanya, Mat, yang merupakan seorang kanak-kanak yang tinggal di sebuah kampung di daerah Lembah Kinta pada sekitar tahun 1950-am dan 1960-an. Kisah diadun dalam bentun kronologi yang mudah, iaitu bermula dengan peristiwa kelahiran Mat, pengalaman yang dilaluinya semasa kanak-kanak seperti bersunat, mandi sungai, pengalaman ke sekolah dan sebagainya, serta diakhiri dengan peleraian apabila Mat berjaya lulus peperiksaan dan menyambung pelajarannya ke sekolah berasama penuh di Ipoh.

Soalnya, sejauhmanakah karya Datuk Lat ini mampu digolongkan sebagai karya sastera, atau secara khususnya, sastera kanak-kanak? Mahu tidak mahu, persoalan ini hanya mampu dijawab dengan meneliti kembali pendefinisian sastera kanak-kanak itu sendiri. Manurut Jacquelyn Sanders, tiga ciri sastera kanak-kanak adalah :

i. isinya cerminan minat dan dunia kanak-kanak
ii. isinya tidak rumit, mampu difahami kanak-kanak
iii.penamat yang menggembirakan atau 'happy ending'.

Namun, dalam menilai Kampung Boy, terdapat pengecualian dalam memenuhi ciri ketiga meskipun karya ini kuat dalam ciri pertama dan kedua. Secara keseluruhan, Kampung Boy merupakan sastera kanak-kanak memandangkan ianya ditulis dari perspektif kanak-kanak, watak utama adalah kanak-kanak, plot cerita mudah, ada unsur didaktik serta paling penting sekali, karya ini menyeronokkan.

Perspektif kanak-kanak

Kampung Boy hasil nukilan Lat adalah ditulis sudut pandang penceritaan watak Mat sendiri. Secara keseluruhannya, kisahnya diadun dari pengalaman penulis di zaman kanak-kanak, berdasarkan latar tempat yang benar-benar wujud di Lembah Kinta, Perak. Amalan dan adat resam serta peristiwa-peristiwa semasa sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an diterjemahkan dari menerusi perasaan Mat sendiri.

Watak Kanak-kanak 

Watak utama adalah Mat diikuti dengan watak-watak sampingan yang melingkari kehidupan kanak-kanaknya iaitu ibu, bapa, nenek, makcik, guru, ustaz serta sahabat-sahabatnya bermain seperti adik beradik Meor Bersaudara, contohnya Meor Din. 

Plot cerita yang mudah

Plot secara kronologi yang mudah difahami. bermula dengan peristiwa kelahiran, pengalaman membesar, mengaji, bersunat, bersekolah dan mengambil peperiksaan. Diakhiri dengan peristiwa yang menggembirakan iaitu kejayaan Mat untuk ke sekolah berasrama penuh di Ipoh. Tetapi, 'happy ending' ini diadun dengan rasa sedih dan berat hati Mat kerana terpaksa meninggalkan kampung halamannya serta kehidupannya yang menyeronokkan tersebut. Namun, bagi bacaan kanak-kanak, hal ini tidaklah menjadi masalah atau membantutkan minat mereka membaca asalkan watak utama sebagai hero yang berjaya lulus peperiksaan ditampilkan dengan cukup memuaskan hati pembaca. 

Ada unsur Didaktik

Unsur kekeluargaan, persahabatan dan tanggungjawab begitu menonjol. Watak Mat yang berusaha untuk lulus peperiksaan setelah menyedari tanggungjawabnya sebagai bakal pewaris ladang getah keluarganya adalah sangat berguna sebagai motivasi kanak-kanak. Unsur persahabatan yang kuat antara Mat dan Meor Bersaudara juga ditonjolkan apabila mereka sering meluangkan masa bersama-sama seperti mandi sungai dan memancing. Penulis juga dilihat begitu menghargai nilai persahabatan ini dalam eksperinya setelah belajar berenang dari rakan-rakannya tersebut. 

Menarik dan Menyeronokkan  

Harus diakui, unsur ini adalah unsur utama bagi sebuah karya kanak-kanak. Kesannya harus menyeronokkan, dan menerusi Kampung Boy, kanak-kanak mudah terhibur lebih-lebih lagi dengan unsur aksi dan humor didalamnya. Hal ini ditonjolkan menerusi ilustrasi-ilustrasi yang mengesankan . Kadangkala, hanya beberapa perkataan ditampilkan sedangkan ilustrasi hampir memenuhi halaman. Namun, kesan humornya jelas dirasakan pembaca walaupun sebenarnya latar masa dan tempat yang diceritakan mungkin tidak begitu dekat dengan pembaca yang tinggal di bandar. Sebagai contoh, aksi mandi sungai yang ditampilkan dengan gaya terjunan kelakar Meor Bersaudara serta aksi bapa Mat menggaru belakang badannya pada tiang rumah boleh membuat pembaca ketawa serta-merta. 



Kesimpulannya, Lat the Kampung Boy adalah sebuah komik yang tinggi martabat sasteranya. Komik ini bukan komik kosong namun sarat dengan nilai pengajaran, kemasyarakatan dan budaya. Sekiranya lebih banyak komik seperti ini dihasilkan, sudah tentu ibu bapa tidak perlu bimbang dengan pemilihan komik sebagai bahan sastera kanak-kanak. 








"Lukisan memangnya sangat penting. Lukisan memberitahu cerita tetapi teks menyempurnakannya kerana banyak perkara yang anda perlukan bagi menerangkan khasnya kepada orang ramai daripada berlainan latar belakang budaya,"
  Lat, 2008






Khamis, 12 Januari 2012

Baucer Buku 1 Malaysia

" Wah seronoknya... boleh beli novel!"
" Alah, kami belajar bukan pakai buku pun... buat apa baucer buku.."
" Alah, napa bagi baucer buku, bagilah duit..."

Inilah realiti. respon mahasiswa mahasiswi universiti. bukan aku mahu mengeji. tapi inikah gambaran mentaliti? 

1. Baucer buku untuk beli novel

Seronoknya dapat baucer buku boleh beli novel. novel apa? tak perlu susah payah meneka, tentu novel Alaf 21 pilihan utama. bukan mahu merendahkan minat mereka, tapi bila NOVEL adalah BUKU pilihan pertama, apa maknanya? Sekali lagi, aku percaya tidak terlintas di fikiran mereka untuk singgah membeli novel-novel hasil karya sastera Anwar Ridhuan, Hamka, atau sebagainya... berdasarkan pemerhatian aku, novel cinta tetap pilihan utama. novel cinta tiada salahnya, cuma... menggunakan baucer untuk novel-novel yang membawa pada angan-angan kayangan semata, apakah relevannya wahai mahasiswa? apakah bezanya pemberian baucer pada pelajar universiti dengan pelajar sekolah? atau istilah pelajar itu terlalu melekakan, wahai MAHASISWA?


2. Baucer buku tiada guna, kursus tidak perlu beli buku

Baiklah, apakah kursus yang katanya 'tidak perlu beli buku' itu? Kursus arkitek, seni, perancangan pembangunan, penyiaran... (ini persepsi). dan bagi aku, persepsi ini silap! TIDAK ADA KURSUS TIDAK PERLU BELI BUKU. apapun kursus mahasiswa di universiti, semuanya tentang ilmu! dan tahukah mereka, semua bidang ilmu, ada buku yang bersesuaian dengan bidang tersebut? memang, ada sesetengah kursus cenderung pada kemahiran amali dan praktikal berbanding teori. ya, mungkin membeli buku teori bukan keperluan. tapi, mengapakah perlu disempitkan fikiran terhadap genre-genre buku? apakah salah kalau mereka membeli buku motivasi, buku psikologi, buku tentang autobiografi dan sebagainya yang mampu menggerak dan merangsang sesiapa jua untuk berjaya dalam apapun bidang diceburi? 

3. Mengapa baucer, saya mahu duit!

Duit untuk apa? untuk membeli keperluan pembelajaran.secara langsung. Duit untuk apa? "tak suka novel dan buku-buku ilmiah, dapat duit boleh beli baju...." itulah masalahnya. budaya membaca tidak dekat dengan rakyat Malaysia. Sedihnya, tidak dekat pun dengan MAHASISWA. kalaulah pelajar Jepun yang memang terkenal dengan budaya membaca itu dapat baucer buku seperti ini saban tahun, aku percaya mereka bersyukur tak terkata kerana buku adalah peneman lazim mereka. namun bagi sesetengah mahasiswa, dapat baucer buku tapi keliru. sebab apa? tidak tahu, mahu beli apa dengan baucer buku? sebab, mereka tak pernah ke kedai dan membeli buku. ( dulu masa sekolah ada juga beli buku teks dan buku rujukan...) 

APAPUN, INI HANYA GENERALISASI.

ya, bukan semua mahasiswa menyambut baucer buku ini dengan respon-respon di atas. aku percaya sebahagian rakan-rakan aku bijak dan tahu bagaimana menggunakan pemberian kerajaan dengan sewajarnya. Mereka tahu keperluan kursus mereka dan mereka sedar berapa banyak pelaburan mereka setiap semester untuk buku-buku wajib, belum termasuk buku rujukan tambahan. mereka tahu ada banyak benda yang perlu dibaca dalam dunia. mereka tahu betapa ketinggalannya kita bila jauh dari budaya membaca. dan mereka ini berebut-rebut tiap kali ke Pesta Buku, toko-toko buku terpakai mahupun antarabangsa. ada antara mereka juga, buku adalah santapan jiwa yang paling menyelerakan. Namun, berapa ramai agaknya 'MEREKA'?



Ini sekadar persepsi dari insan yang tidak cukup membaca. kalau aku silap, mungkin kerana aku pun kurang membaca. Buat Kerajaan :
"TERIMA KASIH ATAS BAUCER BUKU INI. ALHAMDULILLAH."





Rabu, 11 Januari 2012

Batu Belah Batu Konkrit - Keindahan bahasa merentas zaman

Monoloque dan Azlina Aziz


Wahai anakanda ku sayang
Ke mana hilang budaya
Diculik piring terbang
Atau ditelan buaya
Tiada peluang tiada ruang
Semua mahu cepat kaya
Pabila semua dah hilang
Barulah hendak percaya
Cukuplah semua ini
Hati bonda tersepih
Biarkan bonda pergi
Dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit
Wahai anakanda ku sayang
Kenapa gadai pusaka
Sebab cinta atau wang
Atau kerna kurang peka
Seperti lalang-lalang
Suka belok suka leka
Ikut telunjuk bayang-bayang
Akhirnya diri terluka
Melihat semua ini
Hati bonda menjerit
Lepaskan bonda lari
Dari dihimpit putar belit
Masyarakat hipokrit
Wahai bonda jangan merajuk
Bonda jangan makan hati
Anakda disini memujuk
Dan anakanda takkan berhenti
Kini sekadar impi
Baru faham semua ini
Bonda tolong jangan pergi
Maafkan anakmu
Cukuplah semua ini
Hati bonda tersepih
Biarkan bonda pergi
Dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit
Dari dihimpit putar belit
Hamba duit masyarakat hipokrit
Bonda rela dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit


Indah lirik lagu ini. seindah nadanya yang menenangkan dan melimpah suasana kemelayuannya. alunan suara Azlina Aziz membawa kita terbuai dek ingatan pada bonda tercinta. Namun indahnya bukan sekadar hiburan, indahnya sarat dengan kritikan. Tentang kita, latar masa yang dekat dengan jiwa kita, namun meminjam lagenda 'Batu Belah Batu Bertangkup' sebagai pelengkapnya.
Soalnya, mengapa batu konkrit? bertepatan dengan masa dan ketika. tentang dunia kita hari ini meletak material sebagai 'tuhan' tindakan. Konkrit sebagai simbolik pada hambatan kapitalisme. dan lagu ini adalah kekecewaan 'bonda' iaitu nenek moyang kita.... rajuknya mereka. melihat realiti generasi hari ini. dan suara Azlina Aziz yang meremangkan bulu roma.... mengajak pendengar menilai kembali, bermuhasabah diri... sejauh mana generasi kita telah merobek dan menghancur-luluh falsafah dan prinsip yang dipegang oleh generasi lampau.


aku suka lagu ini. sungguh.  



Khamis, 5 Januari 2012

malam tadi

malam tadi..
kecoh kepoh seluruh universiti 
hangat dek kisah kontroversi. 
perjuangan mahasiswa dan adam adli

tidak melihat dengan mata sendiri
tidak gemar menuduh suka hati
sama seperti malam tadi
yang tak berkenaan pula yang duk caci maki

malam tadi
khabarnya hanya 10 orang berdikusi
yang lain melihat dan berdiri di tepi
tidak melayan sebarang provokasi
ramai cenderung jadi pemerhati

katanya...
"aku nak study..."
" politik aku tak peduli"
katanya pula..
"aku nak kebebasan akademik"
"aku nak kebebasan politik"

aku benci si fanatik
tak ada pertimbangan terus emosi
mencaci memaki hilang manusiawi
tengok status, share fitnah kat fb

aku lagi benci yang katanya nak tumpu akademik
sampai tak tahu isu politik
tapi bila orang maki, kau maki
bila orang kutuk, kau kutuk
apa halnya kau ikut-ikut?

aduhai mahasiswa
cukuplah segala sumpah seranah
cukuplah segala tohmah dan fitnah
cukuplah kita gadaikan maruah
semata memuaskan si mahasitua

tak kisahlah yang dari mana-mana
kita ada akal ada minda
sama-sama ada cita-cita
banyak-banyaklah berdoa
agar yang memegang tampuk bertimbang rasa
yang jatuh terjelupuk tidak gila
sebab kita dan mereka
sama-sama manusia


 




Rabu, 4 Januari 2012

Songlap dan Shaheizy Sam yang menggoda..~


 
Aku mengaku Shaheizy Sam adalah tarikan aku ke pawagam. Wajarlah, kerana hasil lakonan tidak pernah mengecewakan. Dari watak pembantu sehingga bergelar Bintang Paling Popular, aku mengaku pembawakan watak Sam sentiasa cool dan menggoda. menggoda? haha... gatal bunyinya. tapi sebagai peminat filem, bagiku Sam ada nilai 'penggoda' dari segi peribadinya, perwatakannya dan popularitinya. Dan selain Sam, penggoda filem ini adalah tajuknya sendiri.. SONGLAP.

Mencari definisi Songlap di Kamus Dewan, tapi hanya menemui kata 'sulap' sebagai takrifan. Walaubagaimanapun, secara umum, aku simpulkan bahawa Songlap bermakna mengambil sesuatu tanpa kebenaran. Menonton keseluruhan filem ini, ya, tajuk ini amat bertepatan. ada seni, ada nilai komersialnya... dan bagi aku, ada falsafahnya. Mungkin pandangan aku berbeza dari 'mereka' tapi tak mengapalah. Paling tidak, aku sendiri kagum bagaimana konsep 'songlap' menjadi asas penggerak cerita ini.  

Songlap tentang dua beradik, Am dan Ad. Kerja mereka adalah songlap baby orang. Kadang-kadang, Am cuba songlap duit upah khidmat penghantaran bayi dari bis besarnya. Dan kadangkala juga, Ad songlap duit Am yang disimpan dalam tin makanan di dapur rumah mereka semata-mata nak bagi pada pelacur yang sudi dengar luahan hati Ad, yang juga sebenarnya merupakan ibunya. Hawa, adik Razak yang mati overdose dadah, semakin menambah konflik bila terjebak dalam sindiket rapi pemerdagangan bayi yang dikendalikan Mama. Apabila Ad cuba menyelamatkan Hawa, menggoyahkan hubungan antara dua Am dan Ad.  

Serius, kalau baca sinopsis, aku tak rasa budak remaja peminat Sam dalam Adnan Sempit atau Bini-Biniku Gangster akan sudi menonton wayang ni. Tapi macam aku kataka, godaan Sam kuat. Tapi, bila menonton filem ni barulah jelas bahawa Sam bukan tonggak filem ini. Filem ini ada kekuatan sendiri, terutama skrip Farina Azlina Isahak. Aku suka bagaimana dalam kekalutan dan lambakan konflik, tapi dijalin dengan rapi tak menyerabutkan kepala aku. Walaupun tiada pengenalan watak yang berlebih-lebihan, tapi perwatakan setiap watak masih kuat dan kukuh. mungkin elemen lakonan pelakon-pelakon termasuklah pelakon tambahan sangat sangat membantu. Kalau aku jadi pelakon pun, dapat watak tambahan tapi skrip bagus macam ni pun aku rasa aku tak tolak. malangnya aku bukan pelakon..heh. Tapi sebenarnya banyak-banyak watak aku terkesan dengan anak buah Mama yang misteri tu. Siapa pelakon tu? Tak banyak dialog tapi aku takkan lupa keganasan dan keseraman yang ditimbulkan oleh dia. Babak watak dia membunuh Abang Mat secara tiba-tiba memang menjadi.


Berbalik pada mesej filem ini, selain drama Kasih Alia kat TV3 tak lama dahulu, ini cerita kedua yang aku tengok ketengahkan isu pemerdagangan orangdi Malaysia. Filem ini benar-benar mengangkat isu ini pada masyarakat yang tidak tahu bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara yang bukan calang-calang dalam perniagaan haram ini. Aku suka apabila pengarah sengaja tonjolkan bagaimana isu ini dilihat sebagai 'harapan baru' oleh pasangan yang dahagakan anak dan sebaliknya merupakan 'aliran duit' buat Mama dan konco-konconya. Lihatlah bagaiman pendekatan orang-orang bawahan Mama mendekati gadis-gadis naif dan keliru seperti Hawa. Juga jangan dilupakan kemahiran dan skill hebat editor surat lahir palsu yang siap mencetak logo Jabatan Pendaftaran Negara dengan jayanya! Ini bukan dongeng, ini realiti di luar sana. dan, itu yang sedihnya... 

Selain itu, isu sumbang mahram PakDin pada Hawa agak hangat juga. Terus terang aku tak tangkap 'bab' ni pada mulanya. Aku tak tahupun Pak Din tu tengah buat apa masa menatap gambar anak dia. Pendekatan indirect ni meletakkan filem ini pada kelas tersendiri. ini jauh beza dari adegan filem dan drama yang tiada kreativiti.. asal sumbang mahram, adegan bapa masuk bilik waktu anak dara tengah tidur, singkap kain anak dan rogol. adegan tipikal ini langsung tiada. tapi aku rasa filem ini lebih berjaya menimbulkan pergolakan rasa dan kebencian pada PakDin.Memang dasar haruan makan anak.. dush!

lain-lain isu, tentang Ad dan Am yang hidup sendiri serta diabaikan ibu yang bekerja sebagai pelacur. Jiwa anak muda Ad yang bercita-cita nak menang pertandingan B-Boy, kurang kasih sayang serta tiada tempat mengadu hingga terdesak bayar ibu sendiri semata-mata perlukan teman bicara, isu Razak yang mati ketagihan dadah... ini juga realiti. bagi remaja yang hidup di bandar, aku rasa isu ini sangat dekat dengan jiwa mereka. Ramai sebenarnya remaja macam ni, dan sayangnya, pihak berkenaan jarang ambil perhatian. Bagi mereka yang rasa babak-babak macam ni merapu dan mendorong remaja meniru dan merosakkan diri, percayalah, benda ni dah terjadi pun di luar sana. Tak perlu tunggu Kuala Lumpur, di Kota Kinabalu tempat aku membesar pun benda-benda macam ni bukan perkara asing. Bagi mereka yang pertikaikan babak-babak macam ni, aku sangsikan tuduhan mereka atas pengarah. Kalau benar pengarah mahu ambil kesempatan, mesti babak Ad nak masuk pertandingan menari tu pengarah akan tonjolkan gadis-gadis seksi terkinja macam yang selalu kita lihat tu.. tapi pengarah ambil pendekatan lain, mengetengahkan isu sosial remaja yang sama. 

Secara keseluruhannya, filem ini memang ada isu yang berat. tapi, masih lagi menghiburkan walaupun penonton tidaklah teringin nak tahu sangat tentang isu-isu berat tersebut. pengarah masih tekankan unsur komedi dan aksi yang mampu menarik penonton ke pawagam. Ada banyak lagi unsur indirect filem ini yang menarik dan membuatkan aku mahu menontonnya lagi... untuk berfikir, sebab aku bukanlah pemikir... 




* Seronok merapu minggu-mingu peperiksaan ni. Tak sangka ni post pertama aku tentang review filem sedangkan hampir setiap minggu aku tonton wayang kat quensbay.Nak tonton wayang apa lagi minggu ni? hehe.:D 
















Selasa, 3 Januari 2012

3 Januari 2012

Hari pertama final exam, juga hari lahir aku. cuak dan gelisah. lebih cuak, paper yang bukan kecenderungan aku. bab kira-kira bukan kepakaran...hurm..

menanti detik 12 malam, Si Dia mahu berjumpa. sudah dapat mengagak rancangan kejutannya. tapi aku masih akur permintaannya untuk turun, kononnya untuk mengembalikan barang-barangnya yang ada pada ku. macamlah esok sudah tidak ada kan sayang? :)

melangkah depan rumah penggawa, terkejut dek suara-suara yang ku kenal. memang terkejut sungguh kerna tak sangka mereka semua di sebalik deretan kereta yang ada di situ. lagipun di situ gelap gelita, makhluk asing pun terkejut woi! hebatlah mereka! haha~

Suprise menjadi!
Motif Sunsilk Perapi? haha
dalam kebingungan nak memotong kek di mana, kami pun beramai-ramai ke Khaleel. lama juga hanya memandang kek sebab segan nak minta pinggan dari abang Khaleel yang semacam tu..hurm. sesi bergambar dan gila-gila berlangsung entah berapa lama. akhirnya aku juga yang ambil pinggan sendiri tanpa rasa malu.hihi. Tanpa disedari, sudah jam 130. dalam kepanikan, aku meminta diri. bimbang juga menyinggung hati mereka yang bersusah payah datang meraikan aku. tapi apa boleh buat, birthday girl ada exam jam 9 pagi! sori...:(

dalam melangkah nak pulang, aku terkena lagi. rupanya kejutan belum berakhir. penuh dibaling tepung oleh mereka. tak marah, cuma kemalasan yang amat memikirkan perlu mandi. tapi memang putih macam hantu zombie kampung pisang dibuatnya. meriah, kepoh...satu Khalel pandang. tak malu apa dah. cuma happy. 

Bila pulang, senyum pada si dia. dia yang berjaya membuat aku bahagia. dia yang selalu gelak dan ketawa. dia yang tak ensem , tapi ada manisnya..ahahah..~

kek cappucino yg sedap!
Terima Kasih, Fik, Dali, Una, Lieyza, Emma, Adi dan Mira...

Istimewa... Terima Kasih, Kamu~ :)




Ahad, 1 Januari 2012

bunga api tahun baru

Happy new year!


tahun baru dan bunga api. kenapa ye? tak tahu. tapi, malam itu memang indah.

mari saya kisahkan kejadian malam itu. selepas menonton Konsert Reunion Akademi Fantasia bersama rakan-rakan di Desasiswa Indah Kembara, baru kami sedar ada beberapa minit lagi menjelang tahun baru. ( Tengok tv pun bosan sebab saya sorang je yang layan AF dan kenal semua peserta AF tu. haha. )

maka dengar tergesa-gesa, kami berempat pun menuju ke destinasi... dalam USM saja! rupanya dah penuh pelajar USM berkumpul kat situ. dalam hati, ni mesti budak-budak baik yang tak tahu bersosial padahal kat penang ni macam-macam tempat boleh sambut tahun baru sampai lupa diri...maka kami golongan budak-budak baik ni...ececeh.. :P... ok sambung cerita.. kami pun mencari port paling sesuai sebab pokok kat USM ni boleh tahan besarnya dan menghalang pandangan kami... 

dengan idea dan keberanian Fik, kami pun naik menara tangki air HEP tu...tinggi, dan hasilnya sangat memuaskan hati! saya dapat tengok bunga api dari bukit USM. cantik. nampak bunga api dari pelbagai arah. Subhanallah. baru saya tahu betapa indahnya pemandangan dari atas bukit ini. Bertuahnya saya dapat melihat bunga api dari arah Pesta Penang, Seberang perai, Padang Kota, dan paling menarik, Bukit Bendera pun nampak! 

Tak lama selepas menikmati keindahan alam tu, kami pun turun. terserempak pulak geng-geng Abang Zaf. Kecoh juga dibuatnya. Lepak sampai jam 2 lebih borak-borak ja. lepas tu, dahaga nak singgah minum kat Khalel. Akhirnya tertangguh kepulangan sampai jam 4 gara-gara berborak lupa diri. aduhai malam tahun baru...