Memaparkan catatan dengan label notaminda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label notaminda. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Oktober 2013

Melayu

Melayu yang dulu, bukanlah yang sekarang....
Dulu saudara sekarang dah seberang...
Dulu dulu dulu tiada sempadannya...
Sekarang?

Yang diatas ni petikan lagu Melayu jugak kan?

Ada orang sangat sensitif dengan 'Melayu'.
Sebab takrif Melayu baginya, berkadar langsung dengan konotosi negatif. 
Paling kurang, yang neutral, mereka melihat takrif Melayu di dalam Perlembagaan.

Sedar atau tidak, Melayu itu dinamis sifatnya.
Melayu seribu tahun lalu, tak sama dengan sekarang.
Melayu 100 tahun lalu kemuncak peralihan penakrifan.
Jadi,
kalau 100 tahun lagi takrifan Melayu sudah berbeza,
apa yang nak dihairankan?


Dalam banyak-banyak pertikaian tentang takrif Melayu, aku paling suka takrifan ini. Mudah, jelas, dan relevan. Juga jawapan kepada mereka yang terkial-kial mengenal diri atau mempertikaikan siapa yang lebih Melayu di rantau ini. Mungkin jga untuk mereka yang rasa alergi dan dimaktubkan sebagai Melayu adalah 'not so me~'. Mungkin? Ikut suka dialah. 

"Menentukan bangsa ada 3 cara, bangsa keturunan jelas sifatnya kerana diwarisi dari keluarga. Bangsa budaya ditentukan kebada budaya dan cara hidup yang disepekati menjadi amalan sesuatu kelompok manusia, meliputi bahasa, adat resam dan agama. Bangsa budaya ini anjal sifatnya dan terbuka. Bangsa politik bermaksud bangsa yang mungkin berbeza budaya dan keturunan, tetapi menganggap dirinya bangsa yang berdaulat dan memiliki tanggungjawab memelihara kedaulatan politik mereka secara bersama. "

Abdul Rahman Hj Ismail, 'Bangsa: Ke arah Ketepatan Makna dalam membicarakan Nasionalisme Melayu.'


Jadi, kalau orang tanya aku bangsa apa, aku senyum saja.
Istilah bangsa ni pun asalnya bukan dari 'orang kita'.
kita guna istilah 'orang' saja.
Orang Bajau, Orang Jawa, Orang Melayu. Kita, orang Kita.

Persetankan istilah penjajah!

Asal kau, aku, sama-sama menerima, sama-sama mengenal. Apa masalahnya?











Rabu, 16 Oktober 2013

Kembali Lagi

"Facebook kill all the talents".



Dush. Menyentap ke hati. 

Terasa tiba-tiba mahu kembali, mencatatkan ekspresi. Apakah yang mahu diharap dari menaip status di Facebook?  


Populariti jauh sekali. sekadar malas. malas mahu menulis. malas mahu meneliti. Facebook memang lebih mudah jika dibanding medium lain.

Tapi, benar. kemudahan itu membunuh kreativiti. kemudahan itu menjadikan kata-kata semakin kurang nilai dan harganya. mungkin yang menekan butang 'like' itu tidakpun membaca. sekadar mencuba menarik perhatian dan tumpuan saja. 


mungkin aku wajar kembali ke sini.



Lagipun, kadangkala sarkastik ku menyentap dan membunuh jua.

walaupun sesekali, ya, memang tujukan pada dia. tapi rasanya dia tak mampu baca. kan dah dibuang dari senarai pembaca? 
sebenarnya, biarlah tidak menarik ribuan pembaca.
lebih mudah.
kurang pembaca, kuranglah yang terasa.
asalkan yang membaca lebih terasa maknanya.
tak pasal-pasal tambah dosa.

jadi, apa motifnya?



Saja.

Khamis, 12 Januari 2012

Baucer Buku 1 Malaysia

" Wah seronoknya... boleh beli novel!"
" Alah, kami belajar bukan pakai buku pun... buat apa baucer buku.."
" Alah, napa bagi baucer buku, bagilah duit..."

Inilah realiti. respon mahasiswa mahasiswi universiti. bukan aku mahu mengeji. tapi inikah gambaran mentaliti? 

1. Baucer buku untuk beli novel

Seronoknya dapat baucer buku boleh beli novel. novel apa? tak perlu susah payah meneka, tentu novel Alaf 21 pilihan utama. bukan mahu merendahkan minat mereka, tapi bila NOVEL adalah BUKU pilihan pertama, apa maknanya? Sekali lagi, aku percaya tidak terlintas di fikiran mereka untuk singgah membeli novel-novel hasil karya sastera Anwar Ridhuan, Hamka, atau sebagainya... berdasarkan pemerhatian aku, novel cinta tetap pilihan utama. novel cinta tiada salahnya, cuma... menggunakan baucer untuk novel-novel yang membawa pada angan-angan kayangan semata, apakah relevannya wahai mahasiswa? apakah bezanya pemberian baucer pada pelajar universiti dengan pelajar sekolah? atau istilah pelajar itu terlalu melekakan, wahai MAHASISWA?


2. Baucer buku tiada guna, kursus tidak perlu beli buku

Baiklah, apakah kursus yang katanya 'tidak perlu beli buku' itu? Kursus arkitek, seni, perancangan pembangunan, penyiaran... (ini persepsi). dan bagi aku, persepsi ini silap! TIDAK ADA KURSUS TIDAK PERLU BELI BUKU. apapun kursus mahasiswa di universiti, semuanya tentang ilmu! dan tahukah mereka, semua bidang ilmu, ada buku yang bersesuaian dengan bidang tersebut? memang, ada sesetengah kursus cenderung pada kemahiran amali dan praktikal berbanding teori. ya, mungkin membeli buku teori bukan keperluan. tapi, mengapakah perlu disempitkan fikiran terhadap genre-genre buku? apakah salah kalau mereka membeli buku motivasi, buku psikologi, buku tentang autobiografi dan sebagainya yang mampu menggerak dan merangsang sesiapa jua untuk berjaya dalam apapun bidang diceburi? 

3. Mengapa baucer, saya mahu duit!

Duit untuk apa? untuk membeli keperluan pembelajaran.secara langsung. Duit untuk apa? "tak suka novel dan buku-buku ilmiah, dapat duit boleh beli baju...." itulah masalahnya. budaya membaca tidak dekat dengan rakyat Malaysia. Sedihnya, tidak dekat pun dengan MAHASISWA. kalaulah pelajar Jepun yang memang terkenal dengan budaya membaca itu dapat baucer buku seperti ini saban tahun, aku percaya mereka bersyukur tak terkata kerana buku adalah peneman lazim mereka. namun bagi sesetengah mahasiswa, dapat baucer buku tapi keliru. sebab apa? tidak tahu, mahu beli apa dengan baucer buku? sebab, mereka tak pernah ke kedai dan membeli buku. ( dulu masa sekolah ada juga beli buku teks dan buku rujukan...) 

APAPUN, INI HANYA GENERALISASI.

ya, bukan semua mahasiswa menyambut baucer buku ini dengan respon-respon di atas. aku percaya sebahagian rakan-rakan aku bijak dan tahu bagaimana menggunakan pemberian kerajaan dengan sewajarnya. Mereka tahu keperluan kursus mereka dan mereka sedar berapa banyak pelaburan mereka setiap semester untuk buku-buku wajib, belum termasuk buku rujukan tambahan. mereka tahu ada banyak benda yang perlu dibaca dalam dunia. mereka tahu betapa ketinggalannya kita bila jauh dari budaya membaca. dan mereka ini berebut-rebut tiap kali ke Pesta Buku, toko-toko buku terpakai mahupun antarabangsa. ada antara mereka juga, buku adalah santapan jiwa yang paling menyelerakan. Namun, berapa ramai agaknya 'MEREKA'?



Ini sekadar persepsi dari insan yang tidak cukup membaca. kalau aku silap, mungkin kerana aku pun kurang membaca. Buat Kerajaan :
"TERIMA KASIH ATAS BAUCER BUKU INI. ALHAMDULILLAH."





Rabu, 11 Januari 2012

Batu Belah Batu Konkrit - Keindahan bahasa merentas zaman

Monoloque dan Azlina Aziz


Wahai anakanda ku sayang
Ke mana hilang budaya
Diculik piring terbang
Atau ditelan buaya
Tiada peluang tiada ruang
Semua mahu cepat kaya
Pabila semua dah hilang
Barulah hendak percaya
Cukuplah semua ini
Hati bonda tersepih
Biarkan bonda pergi
Dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit
Wahai anakanda ku sayang
Kenapa gadai pusaka
Sebab cinta atau wang
Atau kerna kurang peka
Seperti lalang-lalang
Suka belok suka leka
Ikut telunjuk bayang-bayang
Akhirnya diri terluka
Melihat semua ini
Hati bonda menjerit
Lepaskan bonda lari
Dari dihimpit putar belit
Masyarakat hipokrit
Wahai bonda jangan merajuk
Bonda jangan makan hati
Anakda disini memujuk
Dan anakanda takkan berhenti
Kini sekadar impi
Baru faham semua ini
Bonda tolong jangan pergi
Maafkan anakmu
Cukuplah semua ini
Hati bonda tersepih
Biarkan bonda pergi
Dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit
Dari dihimpit putar belit
Hamba duit masyarakat hipokrit
Bonda rela dimakan ditelan
Batu belah batu konkrit


Indah lirik lagu ini. seindah nadanya yang menenangkan dan melimpah suasana kemelayuannya. alunan suara Azlina Aziz membawa kita terbuai dek ingatan pada bonda tercinta. Namun indahnya bukan sekadar hiburan, indahnya sarat dengan kritikan. Tentang kita, latar masa yang dekat dengan jiwa kita, namun meminjam lagenda 'Batu Belah Batu Bertangkup' sebagai pelengkapnya.
Soalnya, mengapa batu konkrit? bertepatan dengan masa dan ketika. tentang dunia kita hari ini meletak material sebagai 'tuhan' tindakan. Konkrit sebagai simbolik pada hambatan kapitalisme. dan lagu ini adalah kekecewaan 'bonda' iaitu nenek moyang kita.... rajuknya mereka. melihat realiti generasi hari ini. dan suara Azlina Aziz yang meremangkan bulu roma.... mengajak pendengar menilai kembali, bermuhasabah diri... sejauh mana generasi kita telah merobek dan menghancur-luluh falsafah dan prinsip yang dipegang oleh generasi lampau.


aku suka lagu ini. sungguh.  



Rabu, 4 Januari 2012

Songlap dan Shaheizy Sam yang menggoda..~


 
Aku mengaku Shaheizy Sam adalah tarikan aku ke pawagam. Wajarlah, kerana hasil lakonan tidak pernah mengecewakan. Dari watak pembantu sehingga bergelar Bintang Paling Popular, aku mengaku pembawakan watak Sam sentiasa cool dan menggoda. menggoda? haha... gatal bunyinya. tapi sebagai peminat filem, bagiku Sam ada nilai 'penggoda' dari segi peribadinya, perwatakannya dan popularitinya. Dan selain Sam, penggoda filem ini adalah tajuknya sendiri.. SONGLAP.

Mencari definisi Songlap di Kamus Dewan, tapi hanya menemui kata 'sulap' sebagai takrifan. Walaubagaimanapun, secara umum, aku simpulkan bahawa Songlap bermakna mengambil sesuatu tanpa kebenaran. Menonton keseluruhan filem ini, ya, tajuk ini amat bertepatan. ada seni, ada nilai komersialnya... dan bagi aku, ada falsafahnya. Mungkin pandangan aku berbeza dari 'mereka' tapi tak mengapalah. Paling tidak, aku sendiri kagum bagaimana konsep 'songlap' menjadi asas penggerak cerita ini.  

Songlap tentang dua beradik, Am dan Ad. Kerja mereka adalah songlap baby orang. Kadang-kadang, Am cuba songlap duit upah khidmat penghantaran bayi dari bis besarnya. Dan kadangkala juga, Ad songlap duit Am yang disimpan dalam tin makanan di dapur rumah mereka semata-mata nak bagi pada pelacur yang sudi dengar luahan hati Ad, yang juga sebenarnya merupakan ibunya. Hawa, adik Razak yang mati overdose dadah, semakin menambah konflik bila terjebak dalam sindiket rapi pemerdagangan bayi yang dikendalikan Mama. Apabila Ad cuba menyelamatkan Hawa, menggoyahkan hubungan antara dua Am dan Ad.  

Serius, kalau baca sinopsis, aku tak rasa budak remaja peminat Sam dalam Adnan Sempit atau Bini-Biniku Gangster akan sudi menonton wayang ni. Tapi macam aku kataka, godaan Sam kuat. Tapi, bila menonton filem ni barulah jelas bahawa Sam bukan tonggak filem ini. Filem ini ada kekuatan sendiri, terutama skrip Farina Azlina Isahak. Aku suka bagaimana dalam kekalutan dan lambakan konflik, tapi dijalin dengan rapi tak menyerabutkan kepala aku. Walaupun tiada pengenalan watak yang berlebih-lebihan, tapi perwatakan setiap watak masih kuat dan kukuh. mungkin elemen lakonan pelakon-pelakon termasuklah pelakon tambahan sangat sangat membantu. Kalau aku jadi pelakon pun, dapat watak tambahan tapi skrip bagus macam ni pun aku rasa aku tak tolak. malangnya aku bukan pelakon..heh. Tapi sebenarnya banyak-banyak watak aku terkesan dengan anak buah Mama yang misteri tu. Siapa pelakon tu? Tak banyak dialog tapi aku takkan lupa keganasan dan keseraman yang ditimbulkan oleh dia. Babak watak dia membunuh Abang Mat secara tiba-tiba memang menjadi.


Berbalik pada mesej filem ini, selain drama Kasih Alia kat TV3 tak lama dahulu, ini cerita kedua yang aku tengok ketengahkan isu pemerdagangan orangdi Malaysia. Filem ini benar-benar mengangkat isu ini pada masyarakat yang tidak tahu bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara yang bukan calang-calang dalam perniagaan haram ini. Aku suka apabila pengarah sengaja tonjolkan bagaimana isu ini dilihat sebagai 'harapan baru' oleh pasangan yang dahagakan anak dan sebaliknya merupakan 'aliran duit' buat Mama dan konco-konconya. Lihatlah bagaiman pendekatan orang-orang bawahan Mama mendekati gadis-gadis naif dan keliru seperti Hawa. Juga jangan dilupakan kemahiran dan skill hebat editor surat lahir palsu yang siap mencetak logo Jabatan Pendaftaran Negara dengan jayanya! Ini bukan dongeng, ini realiti di luar sana. dan, itu yang sedihnya... 

Selain itu, isu sumbang mahram PakDin pada Hawa agak hangat juga. Terus terang aku tak tangkap 'bab' ni pada mulanya. Aku tak tahupun Pak Din tu tengah buat apa masa menatap gambar anak dia. Pendekatan indirect ni meletakkan filem ini pada kelas tersendiri. ini jauh beza dari adegan filem dan drama yang tiada kreativiti.. asal sumbang mahram, adegan bapa masuk bilik waktu anak dara tengah tidur, singkap kain anak dan rogol. adegan tipikal ini langsung tiada. tapi aku rasa filem ini lebih berjaya menimbulkan pergolakan rasa dan kebencian pada PakDin.Memang dasar haruan makan anak.. dush!

lain-lain isu, tentang Ad dan Am yang hidup sendiri serta diabaikan ibu yang bekerja sebagai pelacur. Jiwa anak muda Ad yang bercita-cita nak menang pertandingan B-Boy, kurang kasih sayang serta tiada tempat mengadu hingga terdesak bayar ibu sendiri semata-mata perlukan teman bicara, isu Razak yang mati ketagihan dadah... ini juga realiti. bagi remaja yang hidup di bandar, aku rasa isu ini sangat dekat dengan jiwa mereka. Ramai sebenarnya remaja macam ni, dan sayangnya, pihak berkenaan jarang ambil perhatian. Bagi mereka yang rasa babak-babak macam ni merapu dan mendorong remaja meniru dan merosakkan diri, percayalah, benda ni dah terjadi pun di luar sana. Tak perlu tunggu Kuala Lumpur, di Kota Kinabalu tempat aku membesar pun benda-benda macam ni bukan perkara asing. Bagi mereka yang pertikaikan babak-babak macam ni, aku sangsikan tuduhan mereka atas pengarah. Kalau benar pengarah mahu ambil kesempatan, mesti babak Ad nak masuk pertandingan menari tu pengarah akan tonjolkan gadis-gadis seksi terkinja macam yang selalu kita lihat tu.. tapi pengarah ambil pendekatan lain, mengetengahkan isu sosial remaja yang sama. 

Secara keseluruhannya, filem ini memang ada isu yang berat. tapi, masih lagi menghiburkan walaupun penonton tidaklah teringin nak tahu sangat tentang isu-isu berat tersebut. pengarah masih tekankan unsur komedi dan aksi yang mampu menarik penonton ke pawagam. Ada banyak lagi unsur indirect filem ini yang menarik dan membuatkan aku mahu menontonnya lagi... untuk berfikir, sebab aku bukanlah pemikir... 




* Seronok merapu minggu-mingu peperiksaan ni. Tak sangka ni post pertama aku tentang review filem sedangkan hampir setiap minggu aku tonton wayang kat quensbay.Nak tonton wayang apa lagi minggu ni? hehe.:D