Isnin, 11 Mei 2015

Gadis

Gadis adalah perempuan yang manis. Senyum tak pernah lekang dari bibir. Gadis gemar menyanyi dan menari. Menghiburkan semua yang menatap dirinya yang manis.

Gadis tak suka menangis. Baginya, hidup ini terlalu singkat untuk berkongsi tangis. Gadis lebih suka ketawa dengan jenaka jenaka sahabatnya. Kadangkala, tanpa tawa si Gadis, pertemuan sahabatnya terasa seperti ada yang hilang. Cepat cepat, mereka menghubungi Gadis. Mengajaknya bersama nikmati indahnya sembang sembang anak muda.

Gadis yang manis, cepat mesra orangnya. Selalu punya banyak cerita. Gadis memang gemar bercerita dan mendengar cerita. Dari pagi hingga ke pagi berikutnya pun Gadis masih mampu menikmati cerita.

Tapi ada sesuatu yang buruk tentang Gadis.

Gadis selalu sembunyi cerita tentang rasanya. Gadis tak pernah tahu bagaimana berkata yang sebenarnya tentang derita. Mungkin Gadis pernah cuba, tapi Gadis semakin ragu untuk berkongsi rasa. Apatah lagi menyerahkan jiwa untuk dipercaya.

Gadis selalu terluka. Mungkin kerana Gadis berkongsi terlalu banyak tentang rasa, lelaki lelaki yang pernah ada, telah tinggalkannya.

Tak ada yang mampu setia. Kerana beban derita Gadis terlalu berat untuk dikongsi bersama.

Gadis akur. Itu takdirnya. Mungkin sampai satu masa, Gadis bukan milik sesiapa. Siapalah yang mahu kalau asyik menanggung derita. Patutlah Gadis selalu ditinggalkan, Gadis sendiri tak ada bahagia untuk dikongsi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan