Jumaat, 16 September 2011

F10-4

susunan kotak. 
lipatan baju.
berpasang kasut.
timbunan buku.
menemaniku.


lemas dalam himpunan barang sendiri,
melangkah menuju jendela,
saat terasa bayu menampar pipi,
ku lihat di kejauhan, para siswa dan siswi,
dengan penuh sabar
menanti bas tiba lagi.


berkataku pada diri sendiri.
"hari ini hari malaysia.
hari ini cuti umum negara.
duit pinjaman di tangan mereka.
bakal habis dalam sekelip mata."


Bulan sepi malam ini.

Isnin, 12 September 2011

adakah dia rindu?

saat tiba di pulau asing yang masih ku rasakan asing hingga kini, aku terdiam. merenung melalui luar jendela kapal terbang, berkira-kira apakah corak perjalanan baru yang bakal ku tempuhi? saat kaki ku melangkah menuju tempat mengambil bagasi, setiap langkah itu masih merasa berat. masih terasa penat. tertanya adakah mindaku yang tenat ini telah bersedia menghadap tawa tangis bersendiri lagi? akankah aku menyendiri lagi? lantas, ku teringatkan dia. menjenguk galaxy mini putih dan menaip laju mesej baru, memberitahu insan tersayang ketibaanku ke mari.

dari jauh, ku lihat dia... berbaju merah, berseluar hitam. rambutnya tidak sepanjang dulu. tampak lebih kemas, bagiku. dia senyum. aku juga senyum. buat pertama kalinya setelah berbulan-bulan, ku rasakan senyuman bahagia yang telah pudar sekian lama. hari ini, ku rasakan otot-otot muka ku perlahan-lahan bekerja mengukir senyuman sampai ke mata. selangkah dia menghampiriku, aku terus mencium kedua tangannya. ya, aku dihambat emosi. emosi rindu yang tidak bertepi. emosi pilu yang penuh sendu. sejujurnya, mungkin saja aku memelukknya jika akal berada di lututku. namun, ku dapat rasa dia sedikit kekok, malu mungkin di hadapan temannya. tapi apa yang kurasakan saat itu, aku sendiri tidak tahu...

duduk di sebelahnya sepanjang perjalanan pulang, bagaikan mahu saja aku memegang erat tangannya. aku pandang dia, tapi mengapa senyumnya tak seperti dulu? mengapa aneh senyuman itu? tidakkah dia bahagia bertemuku? atau apa yang ku rasa, hanya aku yang rasa? entahlah, tapi mataku sukar untuk melepaskan pandangan padanya. dalam gejolak rasa yang menghambatku, tiba-tiba dia membelai kepalaku, lalu senyum padaku.

tanpa kata, tanpa suara, aku tahu. dia rindu aku. 

Rabu, 22 Jun 2011

terlalu dalam

ada perkara..
terlalu dalam kisahnya.
terlalu sakit rasanya.
sehingga tiada kata mampu terucap lagi.
hanya doa moga dia kembali mengerti.
air dicincang takkan putus.


walau sejauh mana dia cuba untuk pergi dan berlari.


tuhan, tabahkanlah hati orang-orang yang kusayangi.

Jumaat, 17 Jun 2011

kisah manusia dan pencarian


ada kisah seorang manusia yang mahukan kucing peliharaan. sangat mahukan kucing kerana dia percaya belai manja kucing dapat melegakan perasaan. dia yakin kasih pada kucing adalah tuntutan. namun, ada satu syarat dalam pencarian, dia tidak mahu kucing hitam. mengapa? kerana kucing hitam adalah simbol kehidupan yang kelam. manusia ini beranggapan begitu.

ya, kucing hitam takkan pernah jadi kucing putih, oren atau belang. hitam dari lahirnya, hitamlah ke akhir hayatnya. soalnya, adakah hitam itu kelemahannya? hinakah hitam sampai bila-bila?

di mata si manusia, kucing hitam itu buruk. kucing hitam itu busuk. buatlah apa saja, walau sedaya upaya si kucing hitam mengambil hati si manusia, walau semanja dan selincah mana pun, satu kriteria yang pasti tidak dipenuhi, selamanya kucing hitam ditolak ketepi. owh, kasihan si kucing hitam. sudahlah tidak mampu berbicara dengan manusia, melintas sahaja di depan mata sudah pasti sepak terajang yang kau terima.

aduh kucing hitam....

perit sakit yang kau rasa. tiada siapa memahaminya. sudah nasib kau kucing hitam. ke mana pun kau dipandang rendah di matanya...

wahai si manusia. aku pun tidak tahu apa yang mahu dalam pencarianmu.











kadangkala, aku rasa aku macam kucing hitam itu.

Rabu, 15 Jun 2011

gerhana malam ini

gerhana malam ini tak kelihatan.
langit kelam jiwa suram.
gerhana hati ini tak terbandingkan.
resah pungguk rindukan bulan.


biarkan langit yang tak selalunya cerah menjadi saksi.
apa yang manusia nanti tak selalunya berkunjung mari.






p/s: senyum terima kasihku buat si kucing belang yang ada di sisi ketika ini.

rasa yang sama

semalam. aku bertemu dengannya bersama himpunan sejuta rindu. 
tanpa semena-mena ku kepilkan kad rindu di dalam begku sambil senyuman ku pamer saat melihatnya mendatangiku.tak tahu mengapa, tapi malam ini aku mahu ia indah buat kami.

sulit. 
tiba-tiba, hanya sebaris ayat menghancur-luluh bunga-bunga sakura yang mulanya mekar dalam jiwaku. aku tak tahu bila, tapi musim bunga berubah jadi taufan dan ribut yang kalut. 
ribut hatiku tampak tenang. hanya segelas ice-blended jadi saksi betapa ku cuba meneguk kedinginan yang ku rasa saat menatap matanya. 

aku tahu sebaris ayat itu cukup mudah. tapi sebaris ayat itu membawa erti yang sama dengan beberapa baris ayat yang ku dengar berkali-kali. maksudnya sama... apa yang dia sampaikan, mudahnya bermaksud...."kamu bukan wanita sempurna".

ada nada muak dalam suaraku. ada bibit benci dalam mataku. aku bosan diperkecilkan lagi. aku diam. dendamku tersimpan dalam-dalam. 

saat melangkah pulang. kad cinta ku campakkan.
malam indah yang ku harapkan hanya tinggal tangisan di lewat malam.


babak klise pasangan... mesej pujukan dia kirimkan. balasku, dingin.
namun akhirnya, dia tidur lena. aku mengulit seksa jiwa. 





malamnya aku mimpi dia juga.

Ahad, 12 Jun 2011

sahabat, debat dan cinta

terasa sudah lama aku tak berbual dari hati ke hati begini dengan sahabat tentang debat. tentang cinta. terasa lega meluahkan apa yang terpendam sekian lama. berkongsi rasa, impian dan harapan, juga kesedihan dan kekecewaan.

tanpa diduga, hubungan aku dan debat mencecah usia 2 tahun. sebenarnya, 'baru' dua tahun. aku bukan seperti ramai pendebat yang cintanya sudah berputik di bangku sekolah lagi. aku memang 'orang baru'. dan, cintaku pada debat juga bukan cinta pandang pertama, tapi ibarat cinta platonik tatkala debat hadir saat aku memerlukan tempat untuk berkongsi pendapat tentang dunia. hidup di alam kampus memang cukup menekan, apatah lagi rumahku jauh nun di Negeri Di Bawah Bayu, sementara aku tercampak di kepulauan kecil ini....ya, bagiku, debat memberi kelegaan. debat tempatku melemparkan pandangan. debat tempatku beroleh kawan. debat juga medanku belajar menghormati kepelbagaian.

namun, aku sedar bahawa 'orang baru' itu tak boleh lagi dijadikan alasan untuk menjadi punca aku dan sahabat debatku tak beroleh sebarang pencapaian. kadangkala, hatiku rapuh dengan tohmahan. tapi aku sedar bahawa selagi aku tak membuktikan, aku harus terima segala cemuhan. selayaknya begitu.... namun, aku kasihan pada 'dia'. pada sahabatku yang banyak berkorban dan berjuang namun hidup dengan menggalas impian dan harapan seantero dunia padanya. telah lama ku rasakan, pundaknya yang empuk boleh jadi tak lagi mampu menanggung apa yang terpikul di situ. dan hari ini, ku dapat tahu dia seolah-olah sudah mahu menarik diri dari perjuangan yang dia cintai ini. jujurnya, aku tak menyalahkan dia. aku faham apa yang terbuku di hatinya. dia juga manusia yang memikul tanggungjawab lain dalam hidupnya. dia juga punya harapan keluarga yang harus jadi prioritinya, dan andai kata debat ini telah melarikan matlamat asalnya ke universiti, dia layak untuk merasa apa sahaja.

tapi, 
sahabatku, aku tahu potensi kamu. aku percaya aku masih berada di dalam debat ini kerana kamu. aku pernah takut akan kamu. aku pernah malu terhadap kemampuanku untuk berdiri sebaris denganmu. aku percaya bukan aku sahaja merasa begini. namun setiap ahli keluarga debat ini sangat menghormati kamu. dan percayalah sahabatku, kami percaya terhadap caramu menerajui kami. namun, hari ini, aku berjanji aku akan bersama kamu. bukan lagi dibelakang kamu. tapi seiring denganmu. aku merasa kesilapan kami kerana terlalu bergantung padamu dan membuatkan kau merasa kau memikul beban ini keseorangan. percayalah, kami tak pernah bermaksud untuk membuat kau terbeban sebegitu. aku mohon kau terus tabah. kerana apapun, aku percaya, kau takkan tinggalkan cinta kau pada debat. kerana kau mencintai debat, juga keluarga debat ini yang kau telah bina dengan segala daya dan usaha.





Khamis, 9 Jun 2011

"tanpa melakukan sesuatu yang luar biasa, jangan mengharapkan kejayaan luar biasa."

ayat ni muncul tiba-tiba dan menghantui minda aku akhir-akhir ini. mungkin kerana kebelakangan ini 'pencapaian' adalah tuntutan yang mendesak. aku terdesak untuk mencapai sesuatu. baik dari sekecil-kecil usaha aku untuk belajar memasak hinggalah soal akademik, aku seolah-olah terasa kosong dan bosan berada dalam tahap 'sederhana' selama ini.

pengiktirafan itu perlu. bukan semata-mata untuk mendabik dada tetapi juga untuk memotivasikan diri sendiri. malangnya, kita seringkali bermimpi namun terlupa di mana kita berdiri. selagi kaki masih menjejak ke tanah, menggapai pelangi terasa payah. bukannya menafikan segala usaha yang dilakukan sebelum ini, namun, sedar atau tida, formula yang sama menghasilkan keputusan yang sama juga akhirnya. 

berbicara tentang 'melakukan sesuatu yang luar biasa', aku rasa aku perlu berani bereksperimen dan keluar dari zon selesa. hakikatnya, hidup aku terlalu selesa! oops, selesa bukan bermakna kaya... ( takut disalah tafsir pula). namun, hidup aku selama ini umpama kucing tidur di bantai. kata orang putih, take things for grantedla!

untuk mendapat 'kejayaan luar biasa' itu, aku perlu buat sesuatu yang drastik. tiba masanya aku perlu melakukan pecutan. cukup sekadar berlari-lari anak selama ini. memang strategi berlari-lari anak menyebabkan aku konsisten ke garis penamat, tapi sampai bila sekadar mencecah garis penamat namun tidak mengecap apa-apa pencapaian? 

perlukan strategi baru dalam kehidupan!

info kucing: kucing tidur di bantai = Hidup senang dan mewah. 
(Peribahasa lain yang sama makna: Ayam bertelur di atas padi). bantai = daging binatang yang disembelih.





kucing yang masih merangkak takkan mampu untuk berlari. 

Selasa, 7 Jun 2011

mencari ilham

dimanakah inspirasi? sedang ku cari, demi menghasilkan penulisan yang berkualiti. namun, bak kata 'si dia', aku perlukan ketenangan. kalau terus-terusan gelabah begini, aku takkan mampu menulis! mujurlah aku ada kakak yang mahu memantau kerajinanku, kalau tidak, payah juga untuk aku memotivasikan diri sendiri. 

mahu menulis, mahu mendapatkan idea. ilham, datanglah kau!


p/s : entry ini takde mood kucing. kecuali kucing malas yang buntu. :(

Isnin, 6 Jun 2011

sakit

baru hari kedua di penang. selesai urus tentang bilik kelmarin, hari ini dilanda demam pula. sedihnya, ingat hari ni nak ronda-ronda penang sendiri. tapi dah dalam keadaan ni, aku macam kucing sakit pula... huhu..:(


tolong... sakit kepala....

erm, mungkin kejap lagi aku gagahkan diri juga ke pejabat pos nak kirim barang buat dua orang sahabat aku di sabah. sedih, pulang kl hari tu tak berkesempatan bertemu mereka berdua. 

erm, selain sakit, kelmarin juga merupakan hari yang melegakan debaranku selama lebih sebulan. keputusan peperiksaan semester 2 2010/2011 diumumkan.seperti  biasanya, aku mengekalkan konsintensi dengan PNGK 3.36. keputusan yang agak okay semata-mata. telefon mama, mama kata bila nak meningkat? uhu. sedih juga.... tapi bersyukur dapat maintain. tapi, tak mampu menipu diri bahawa aku kecewa sangat-sangat sebab subjek lain semua bagus, cuma subjek sejarah juga aku tak mampu dapat lebih baik dari B... argh! tension... adakah ini punca aku demam? 

sekian kucing mengiau tengahari ini.... meeeooowww~!








Aku dan Kucing

aku peminat kucing. Bagi aku, kucing adalah penenang jiwa dan gelisahku. Sejak kecil aku mencurahkan kasih pada makhluk tuhan bernama kucing. kerana itu, blog ini aku tujukan khas sebagai ekspresi kasihku pada kucing.

jangan salah faham, aku tak akan jadikan blog ini blog pencinta kucing semata-mata. tapi mungkin makhluk tuhan yang satu ni adalah simbol bagaimana aku melihat dunia. bagiku,istimewanya kucing kerana ia mewakili personaliti misteri, malu-malu, namun bagi yang bijak yang menanganinya, kucing adalah makhluk paling manja dan lemah oleh belaian manusia.tapi ingat, kucing boleh jadi lincah, kucing juga boleh jadi ganas. 

aku? selalu saja Malu-malu kucing...hehe.




ini kucing kesayangan aku, kutip. bersama dengan anak angkatnya, short tail. :)


Info kucing : "Malu-malu kucing bermaksud berpura-pura malu" ( Kamus Dewan, Edisi Keempat).