Ahad, 12 Jun 2011

sahabat, debat dan cinta

terasa sudah lama aku tak berbual dari hati ke hati begini dengan sahabat tentang debat. tentang cinta. terasa lega meluahkan apa yang terpendam sekian lama. berkongsi rasa, impian dan harapan, juga kesedihan dan kekecewaan.

tanpa diduga, hubungan aku dan debat mencecah usia 2 tahun. sebenarnya, 'baru' dua tahun. aku bukan seperti ramai pendebat yang cintanya sudah berputik di bangku sekolah lagi. aku memang 'orang baru'. dan, cintaku pada debat juga bukan cinta pandang pertama, tapi ibarat cinta platonik tatkala debat hadir saat aku memerlukan tempat untuk berkongsi pendapat tentang dunia. hidup di alam kampus memang cukup menekan, apatah lagi rumahku jauh nun di Negeri Di Bawah Bayu, sementara aku tercampak di kepulauan kecil ini....ya, bagiku, debat memberi kelegaan. debat tempatku melemparkan pandangan. debat tempatku beroleh kawan. debat juga medanku belajar menghormati kepelbagaian.

namun, aku sedar bahawa 'orang baru' itu tak boleh lagi dijadikan alasan untuk menjadi punca aku dan sahabat debatku tak beroleh sebarang pencapaian. kadangkala, hatiku rapuh dengan tohmahan. tapi aku sedar bahawa selagi aku tak membuktikan, aku harus terima segala cemuhan. selayaknya begitu.... namun, aku kasihan pada 'dia'. pada sahabatku yang banyak berkorban dan berjuang namun hidup dengan menggalas impian dan harapan seantero dunia padanya. telah lama ku rasakan, pundaknya yang empuk boleh jadi tak lagi mampu menanggung apa yang terpikul di situ. dan hari ini, ku dapat tahu dia seolah-olah sudah mahu menarik diri dari perjuangan yang dia cintai ini. jujurnya, aku tak menyalahkan dia. aku faham apa yang terbuku di hatinya. dia juga manusia yang memikul tanggungjawab lain dalam hidupnya. dia juga punya harapan keluarga yang harus jadi prioritinya, dan andai kata debat ini telah melarikan matlamat asalnya ke universiti, dia layak untuk merasa apa sahaja.

tapi, 
sahabatku, aku tahu potensi kamu. aku percaya aku masih berada di dalam debat ini kerana kamu. aku pernah takut akan kamu. aku pernah malu terhadap kemampuanku untuk berdiri sebaris denganmu. aku percaya bukan aku sahaja merasa begini. namun setiap ahli keluarga debat ini sangat menghormati kamu. dan percayalah sahabatku, kami percaya terhadap caramu menerajui kami. namun, hari ini, aku berjanji aku akan bersama kamu. bukan lagi dibelakang kamu. tapi seiring denganmu. aku merasa kesilapan kami kerana terlalu bergantung padamu dan membuatkan kau merasa kau memikul beban ini keseorangan. percayalah, kami tak pernah bermaksud untuk membuat kau terbeban sebegitu. aku mohon kau terus tabah. kerana apapun, aku percaya, kau takkan tinggalkan cinta kau pada debat. kerana kau mencintai debat, juga keluarga debat ini yang kau telah bina dengan segala daya dan usaha.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan