Rabu, 4 Januari 2012

Songlap dan Shaheizy Sam yang menggoda..~


 
Aku mengaku Shaheizy Sam adalah tarikan aku ke pawagam. Wajarlah, kerana hasil lakonan tidak pernah mengecewakan. Dari watak pembantu sehingga bergelar Bintang Paling Popular, aku mengaku pembawakan watak Sam sentiasa cool dan menggoda. menggoda? haha... gatal bunyinya. tapi sebagai peminat filem, bagiku Sam ada nilai 'penggoda' dari segi peribadinya, perwatakannya dan popularitinya. Dan selain Sam, penggoda filem ini adalah tajuknya sendiri.. SONGLAP.

Mencari definisi Songlap di Kamus Dewan, tapi hanya menemui kata 'sulap' sebagai takrifan. Walaubagaimanapun, secara umum, aku simpulkan bahawa Songlap bermakna mengambil sesuatu tanpa kebenaran. Menonton keseluruhan filem ini, ya, tajuk ini amat bertepatan. ada seni, ada nilai komersialnya... dan bagi aku, ada falsafahnya. Mungkin pandangan aku berbeza dari 'mereka' tapi tak mengapalah. Paling tidak, aku sendiri kagum bagaimana konsep 'songlap' menjadi asas penggerak cerita ini.  

Songlap tentang dua beradik, Am dan Ad. Kerja mereka adalah songlap baby orang. Kadang-kadang, Am cuba songlap duit upah khidmat penghantaran bayi dari bis besarnya. Dan kadangkala juga, Ad songlap duit Am yang disimpan dalam tin makanan di dapur rumah mereka semata-mata nak bagi pada pelacur yang sudi dengar luahan hati Ad, yang juga sebenarnya merupakan ibunya. Hawa, adik Razak yang mati overdose dadah, semakin menambah konflik bila terjebak dalam sindiket rapi pemerdagangan bayi yang dikendalikan Mama. Apabila Ad cuba menyelamatkan Hawa, menggoyahkan hubungan antara dua Am dan Ad.  

Serius, kalau baca sinopsis, aku tak rasa budak remaja peminat Sam dalam Adnan Sempit atau Bini-Biniku Gangster akan sudi menonton wayang ni. Tapi macam aku kataka, godaan Sam kuat. Tapi, bila menonton filem ni barulah jelas bahawa Sam bukan tonggak filem ini. Filem ini ada kekuatan sendiri, terutama skrip Farina Azlina Isahak. Aku suka bagaimana dalam kekalutan dan lambakan konflik, tapi dijalin dengan rapi tak menyerabutkan kepala aku. Walaupun tiada pengenalan watak yang berlebih-lebihan, tapi perwatakan setiap watak masih kuat dan kukuh. mungkin elemen lakonan pelakon-pelakon termasuklah pelakon tambahan sangat sangat membantu. Kalau aku jadi pelakon pun, dapat watak tambahan tapi skrip bagus macam ni pun aku rasa aku tak tolak. malangnya aku bukan pelakon..heh. Tapi sebenarnya banyak-banyak watak aku terkesan dengan anak buah Mama yang misteri tu. Siapa pelakon tu? Tak banyak dialog tapi aku takkan lupa keganasan dan keseraman yang ditimbulkan oleh dia. Babak watak dia membunuh Abang Mat secara tiba-tiba memang menjadi.


Berbalik pada mesej filem ini, selain drama Kasih Alia kat TV3 tak lama dahulu, ini cerita kedua yang aku tengok ketengahkan isu pemerdagangan orangdi Malaysia. Filem ini benar-benar mengangkat isu ini pada masyarakat yang tidak tahu bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara yang bukan calang-calang dalam perniagaan haram ini. Aku suka apabila pengarah sengaja tonjolkan bagaimana isu ini dilihat sebagai 'harapan baru' oleh pasangan yang dahagakan anak dan sebaliknya merupakan 'aliran duit' buat Mama dan konco-konconya. Lihatlah bagaiman pendekatan orang-orang bawahan Mama mendekati gadis-gadis naif dan keliru seperti Hawa. Juga jangan dilupakan kemahiran dan skill hebat editor surat lahir palsu yang siap mencetak logo Jabatan Pendaftaran Negara dengan jayanya! Ini bukan dongeng, ini realiti di luar sana. dan, itu yang sedihnya... 

Selain itu, isu sumbang mahram PakDin pada Hawa agak hangat juga. Terus terang aku tak tangkap 'bab' ni pada mulanya. Aku tak tahupun Pak Din tu tengah buat apa masa menatap gambar anak dia. Pendekatan indirect ni meletakkan filem ini pada kelas tersendiri. ini jauh beza dari adegan filem dan drama yang tiada kreativiti.. asal sumbang mahram, adegan bapa masuk bilik waktu anak dara tengah tidur, singkap kain anak dan rogol. adegan tipikal ini langsung tiada. tapi aku rasa filem ini lebih berjaya menimbulkan pergolakan rasa dan kebencian pada PakDin.Memang dasar haruan makan anak.. dush!

lain-lain isu, tentang Ad dan Am yang hidup sendiri serta diabaikan ibu yang bekerja sebagai pelacur. Jiwa anak muda Ad yang bercita-cita nak menang pertandingan B-Boy, kurang kasih sayang serta tiada tempat mengadu hingga terdesak bayar ibu sendiri semata-mata perlukan teman bicara, isu Razak yang mati ketagihan dadah... ini juga realiti. bagi remaja yang hidup di bandar, aku rasa isu ini sangat dekat dengan jiwa mereka. Ramai sebenarnya remaja macam ni, dan sayangnya, pihak berkenaan jarang ambil perhatian. Bagi mereka yang rasa babak-babak macam ni merapu dan mendorong remaja meniru dan merosakkan diri, percayalah, benda ni dah terjadi pun di luar sana. Tak perlu tunggu Kuala Lumpur, di Kota Kinabalu tempat aku membesar pun benda-benda macam ni bukan perkara asing. Bagi mereka yang pertikaikan babak-babak macam ni, aku sangsikan tuduhan mereka atas pengarah. Kalau benar pengarah mahu ambil kesempatan, mesti babak Ad nak masuk pertandingan menari tu pengarah akan tonjolkan gadis-gadis seksi terkinja macam yang selalu kita lihat tu.. tapi pengarah ambil pendekatan lain, mengetengahkan isu sosial remaja yang sama. 

Secara keseluruhannya, filem ini memang ada isu yang berat. tapi, masih lagi menghiburkan walaupun penonton tidaklah teringin nak tahu sangat tentang isu-isu berat tersebut. pengarah masih tekankan unsur komedi dan aksi yang mampu menarik penonton ke pawagam. Ada banyak lagi unsur indirect filem ini yang menarik dan membuatkan aku mahu menontonnya lagi... untuk berfikir, sebab aku bukanlah pemikir... 




* Seronok merapu minggu-mingu peperiksaan ni. Tak sangka ni post pertama aku tentang review filem sedangkan hampir setiap minggu aku tonton wayang kat quensbay.Nak tonton wayang apa lagi minggu ni? hehe.:D 
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan