Isnin, 16 Januari 2012

Kampung Boy - Mencari titik pertembungan antara komik dan karya Sastera


Apakah kartun? Kartun berasal dari isilah cartone dalam Bahasa Inggeris yang bermakna kertas. Menurut A.S Horby, kartun merujuk pada lukisan tentang peristiwa yang digambarkan dengan menarik dan diselitkan unsur jenaka. Komik adalah salah satu bentuk kartun lerang. Sememangnya, komik yang sinonim dengan humor lebih diminati oleh golongan kanak-kanak. Oleh sebab itu, tahap intelek komik seringkali dilihat sebagai rendah. Sedangkan, sastera disifatkan sebagai wahana mengangkat isu penting dalam masyarakat.Maka seringkali titik persamaan antara komik dan sastera seringkali sukar untuk ditemukan. Sedar atau tidak, persepsi ini wujud lantaran lambakan komik di pasaran yang rendah mutunya baik dari aspek bahasa mahupun kandungan. Walaubagaimanapun, karya Datuk Lat, iaitu Kampung Boy yang diterbitkan sekitar 1990-an membuktikan bagaimana komik sebenarnya merupakan paduan seni lukisan dan juga seni sastera. 



Kampung Boy mengisahkan watak utamanya, Mat, yang merupakan seorang kanak-kanak yang tinggal di sebuah kampung di daerah Lembah Kinta pada sekitar tahun 1950-am dan 1960-an. Kisah diadun dalam bentun kronologi yang mudah, iaitu bermula dengan peristiwa kelahiran Mat, pengalaman yang dilaluinya semasa kanak-kanak seperti bersunat, mandi sungai, pengalaman ke sekolah dan sebagainya, serta diakhiri dengan peleraian apabila Mat berjaya lulus peperiksaan dan menyambung pelajarannya ke sekolah berasama penuh di Ipoh.

Soalnya, sejauhmanakah karya Datuk Lat ini mampu digolongkan sebagai karya sastera, atau secara khususnya, sastera kanak-kanak? Mahu tidak mahu, persoalan ini hanya mampu dijawab dengan meneliti kembali pendefinisian sastera kanak-kanak itu sendiri. Manurut Jacquelyn Sanders, tiga ciri sastera kanak-kanak adalah :

i. isinya cerminan minat dan dunia kanak-kanak
ii. isinya tidak rumit, mampu difahami kanak-kanak
iii.penamat yang menggembirakan atau 'happy ending'.

Namun, dalam menilai Kampung Boy, terdapat pengecualian dalam memenuhi ciri ketiga meskipun karya ini kuat dalam ciri pertama dan kedua. Secara keseluruhan, Kampung Boy merupakan sastera kanak-kanak memandangkan ianya ditulis dari perspektif kanak-kanak, watak utama adalah kanak-kanak, plot cerita mudah, ada unsur didaktik serta paling penting sekali, karya ini menyeronokkan.

Perspektif kanak-kanak

Kampung Boy hasil nukilan Lat adalah ditulis sudut pandang penceritaan watak Mat sendiri. Secara keseluruhannya, kisahnya diadun dari pengalaman penulis di zaman kanak-kanak, berdasarkan latar tempat yang benar-benar wujud di Lembah Kinta, Perak. Amalan dan adat resam serta peristiwa-peristiwa semasa sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an diterjemahkan dari menerusi perasaan Mat sendiri.

Watak Kanak-kanak 

Watak utama adalah Mat diikuti dengan watak-watak sampingan yang melingkari kehidupan kanak-kanaknya iaitu ibu, bapa, nenek, makcik, guru, ustaz serta sahabat-sahabatnya bermain seperti adik beradik Meor Bersaudara, contohnya Meor Din. 

Plot cerita yang mudah

Plot secara kronologi yang mudah difahami. bermula dengan peristiwa kelahiran, pengalaman membesar, mengaji, bersunat, bersekolah dan mengambil peperiksaan. Diakhiri dengan peristiwa yang menggembirakan iaitu kejayaan Mat untuk ke sekolah berasrama penuh di Ipoh. Tetapi, 'happy ending' ini diadun dengan rasa sedih dan berat hati Mat kerana terpaksa meninggalkan kampung halamannya serta kehidupannya yang menyeronokkan tersebut. Namun, bagi bacaan kanak-kanak, hal ini tidaklah menjadi masalah atau membantutkan minat mereka membaca asalkan watak utama sebagai hero yang berjaya lulus peperiksaan ditampilkan dengan cukup memuaskan hati pembaca. 

Ada unsur Didaktik

Unsur kekeluargaan, persahabatan dan tanggungjawab begitu menonjol. Watak Mat yang berusaha untuk lulus peperiksaan setelah menyedari tanggungjawabnya sebagai bakal pewaris ladang getah keluarganya adalah sangat berguna sebagai motivasi kanak-kanak. Unsur persahabatan yang kuat antara Mat dan Meor Bersaudara juga ditonjolkan apabila mereka sering meluangkan masa bersama-sama seperti mandi sungai dan memancing. Penulis juga dilihat begitu menghargai nilai persahabatan ini dalam eksperinya setelah belajar berenang dari rakan-rakannya tersebut. 

Menarik dan Menyeronokkan  

Harus diakui, unsur ini adalah unsur utama bagi sebuah karya kanak-kanak. Kesannya harus menyeronokkan, dan menerusi Kampung Boy, kanak-kanak mudah terhibur lebih-lebih lagi dengan unsur aksi dan humor didalamnya. Hal ini ditonjolkan menerusi ilustrasi-ilustrasi yang mengesankan . Kadangkala, hanya beberapa perkataan ditampilkan sedangkan ilustrasi hampir memenuhi halaman. Namun, kesan humornya jelas dirasakan pembaca walaupun sebenarnya latar masa dan tempat yang diceritakan mungkin tidak begitu dekat dengan pembaca yang tinggal di bandar. Sebagai contoh, aksi mandi sungai yang ditampilkan dengan gaya terjunan kelakar Meor Bersaudara serta aksi bapa Mat menggaru belakang badannya pada tiang rumah boleh membuat pembaca ketawa serta-merta. 



Kesimpulannya, Lat the Kampung Boy adalah sebuah komik yang tinggi martabat sasteranya. Komik ini bukan komik kosong namun sarat dengan nilai pengajaran, kemasyarakatan dan budaya. Sekiranya lebih banyak komik seperti ini dihasilkan, sudah tentu ibu bapa tidak perlu bimbang dengan pemilihan komik sebagai bahan sastera kanak-kanak. 








"Lukisan memangnya sangat penting. Lukisan memberitahu cerita tetapi teks menyempurnakannya kerana banyak perkara yang anda perlukan bagi menerangkan khasnya kepada orang ramai daripada berlainan latar belakang budaya,"
  Lat, 2008






Tiada ulasan:

Catat Ulasan